Pelajar kongsi pengalaman pelancaran MEASAT
CYBERJAYA 1 Ogos - Lima pelajar bertuah yang diberi peluang menyaksikan pelancaran satelit Malaysia keempat, MEASAT-3a di Baikonor, Kazakhtan pada 21 Ogos ini bertekad mahu menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai sains angkasa lepas untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia apabila pulang nanti.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Lina Na'ilah Abdul Talip, 16, dia berasa bertuah dan bersyukur kerana dipilih antara ribuan pelajar untuk menyaksikan satu lagi sejarah dicipta dalam industri angkasa lepas negara.
''Walaupun saya rasa sedikit berdebar untuk ke sana memandangkan saya satu-satunya pelajar perempuan, tetapi saya anggap ini satu cabaran dan akan membuktikan bidang angkasa sesuatu yang menarik untuk dikaji," katanya.
Dia ditemui ketika menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Pusat Satelit Measat di sini hari ini.
Selain Lina, empat lagi pelajar ialah Ahmad Ruiz Mohd. Asri dari SMK Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur; K. Chandra Sekhar (SMK Dato Penggawa Timur, Masai Johor), Cliff Asher R Ongil (SM St. Paul Beaufort, Sabah) dan Edmund Lau dari SMK Kuching High School, Kuching, Sarawak.
Pelajar terbabit dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta minat yang mendalam dan aktif dalam aktiviti berkaitan sains dan teknologi.
Seorang lagi pelajar, Ahmad Ruiz berkata, cita-citanya untuk menjadi jurutera robot akan tercapai apabila diberi peluang melihat sendiri teknologi yang telah dikuasai negara maju lain.
''Industri angkasa lepas ini banyak menggunakan teknologi komputer dan robot. Jadi saya sungguh teruja apabila diberi peluang menyaksikan sendiri kecanggihan teknologi ini dan diberi pendedahan awal mengenai industri ini," katanya.
Edmund Lau pula berkata, negara memerlukan lebih ramai pakar dalam industri angkasa lepas untuk bersaing dengan negara maju lain.
''Selepas pulang ke Malaysia nanti saya akan berkongsi dengan pelajar lain supaya mereka lebih minat untuk menceburi industri ini dan mampu menyumbangkan sesuatu kepada negara," katanya.
Sementara itu, Sheikh Muszaphar ketika ditemui pemberita berkata, beliau mahu kesemua pelajar tersebut mempelajari sesuatu mengenai industri angkasa lepas supaya dapat menyumbangkan kepakaran kepada negara apabila dewasa nanti.
''Jangan lepaskan peluang yang diberikan ini dan cuba untuk bertanya apa sahaja supaya rakan-rakan lain seusia mereka dapat berkongsi pengalaman mereka mengenai kecanggihan sains dan teknologi," katanya yang meluangkan masa kira-kira satu jam bersama pelajar tersebut.
Aliran vokasional seawal tingkatan satu
KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan aliran vokasional dan teknik seawal tingkatan satu dalam usaha mengelak berlaku pembaziran sumber tenaga manusia dalam negara.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pengajaran aliran vokasional dan teknik seawal tingkatan satu dapat memastikan pelajar yang kurang cemerlang dalam pelajaran lebih terjamin masa depan mereka.
Menurutnya, sejajar dengan langkah itu, laluan bagi pelajar aliran vokasional dan teknik untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan diperluaskan.
“Bermula 2007, 22 mata pelajaran aliran vokasional mula diajar di 106 sekolah menengah harian dan tambahan bengkel bersesuaian bagi meningkatkan kualiti dan skop aliran ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan hala tuju masa depan pelajar berada di landasan yang betul.
“Usaha ini akan terus diperhebatkan dan kita sedang meneliti beberapa mata pelajaran kritikal dalam aliran ini untuk diperkenalkan mulai tahun hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi meningkatkan mutu pembelajaran aliran vokasional di Malaysia, para pegawai Kementerian Pelajaran telah melawat Australia dan Kanada bagi meneliti model pembelajaran di sana untuk dipraktikkan di negara ini.
Majlis permuafakatan pelajaran di semua PPD
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA (Utusan Malaysia)
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Majlis permuafakatan pelajaran yang menggabungkan kerjasama semua pihak bagi menangani sebarang masalah di setiap sekolah akan diwujudkan secara tetap di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, antara isu yang boleh dibincang dan diselesaikan melalui majlis tersebut termasuk disiplin, kesihatan dan kebersihan sekolah serta masalah sosial pelajar.
Katanya, pihak yang terlibat pula termasuk polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hospital, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
"Ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sekarang di Terengganu sudah ada majlis tersebut dan ia amat membantu pihak sekolah menyelesaikan banyak isu sekolah dan pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada majlis menerima 100,000 ucapan kemerdekaan sepanjang 5.1 kilometer oleh pelajar sekolah yang akan dicatat dalam Malaysia Book of Records anjuran Gerakan Ehsan Selangor dan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang juga Yang Dipertua Gerakan Ehsan Selangor, Tan Sri Zaleha Ismail.
Razali berkata, langkah tersebut akan membolehkan pihak sekolah mengenal pasti masalah atau isu yang timbul di kalangan pelajar dalam usaha menangani gejala sosial pada hari ini.
Dalam pada itu, Zaleha berkata, acara 100,000 ucapan kemerdekaan yang diusahakan adalah sebagai penghargaan kepada pejuang kemerdekaan dan menimbulkan semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah.
Katanya, kain rentang yang mengandungi ucapan kemerdekaan rakyat Malaysia itu akan dikibarkan di Stadium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 28 Ogos ini.